KEBERKESANAN PENGGUNAAN ALAT BANTU MENGAJAR INTERAKTIF DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN ASAS PENGATURCARAAN
Abstract
Kajian ini bertujuan untuk menguji keberkesanan penggunaan alat bantu mengajar (abm) interaktif bagi meningkatkan pencapaian pelajar. Kajian ini telah dijalankan di Kolej Matrikulasi Perak. Reka bentuk kajian kuasi eksperimen ini telah dilaksanakan terhadap 91 orang sampel pelajar. Seramai 53 orang pelajar telah dipilih mewakili kumpulan eksperimen manakala 38 orang pelajar lagi mewakili kumpulan kawalan. Semasa sesi pengajaran dan pembelajaran, pelajar dalam kumpulan eksperimen telah diberikan rawatan menggunakan abm interaktif kontemporari manakala pelajar dalam kumpulan kawalan menggunakan abm interaktif konvensional. Data telah dikumpulkan melalui ujian pra dan ujian pasca dan dianalisis dengan menggunakan ujian t berpasangan dan analisis kovarians (ANCOVA). Ujian t berpasangan telah digunakan untuk membandingkan pencapaian ujian pra dan ujian pasca dengan min markah ujian pra ialah 46% sementara min markah ujian pasca pula ialah 87%. Peningkatan ini adalah signifikan dengan nilai p < 0.001. Namun, tidak terdapat perbezaan yang signifikan dalam pencapaian min markah ujian pasca antara dua kumpulan tersebut dengan nilai p>0.001. Hasil kajian ini menunjukkan bahawa penggunaan abm interakif dalam proses pembelajaran telah menyumbang kepada peningkatan pada pencapaian pelajar dalam topik pengaturcaran.
Kata kunci: Pengaturcaraan, perisian permainan, alat bantu mengajar interaksi.