ANALISIS KEPERLUAN PEMBANGUNAN MODEL PENERIMAAN GeSVa DALAM m-PEMBELAJARAN INSTITUT PENDIDIKAN GURU
Abstract
Kemajuan dalam bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) telah banyak memberi manfaat dalam bidang pendidikan apabila penggunaan peranti mudah dalam Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) mampu mewujudkan pembelajaran atas talian. Perkembangan yang dinamik ini turut mengubah corak pemikiran, kaedah dan pedagogi pengajaran guru iaitu pengajaran secara konvensional berpusatkan guru kepada pengajaran berpusatkan murid. Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti keperluan pembangunan model penerimaan GeSVa (Generic Skills and Values) dalam m-Pembelajaran di Institut Pendidikan Guru (IPG). Perkataan “GeSVa” adalah akronim daripada “Generic skills and Values”. Seramai 234 responden dalam kalangan guru pelatih IPG zon utara yang ditentukan melalui kaedah persampelan bertujuan telah terlibat dalam kajian ini. Borang soal selidik kajian mengandungi 26 item berkaitan tahap persetujuan terhadap konstruk dan elemen model penerimaan GeSVa dalam m-Pembelajaran yang dibahagikan kepada enam dimensi iaitu (1) kemahiran pemikiran kritis, (2) kemahiran penyelesaian masalah, (3) kemahiran TMK, (4) nilai amanah, (5) nilai bertanggungjawab dan (6) kepercayaan. Data yang diperoleh dianalisis menerusi statistik deskriptif menggunakan perisian Pakej Statistik untuk Sains Sosial (SPSS) versi 22.0. Tafsiran data adalah berdasarkan peratusan, nilai min dan sisihan piawai. Dapatan kajian menunjukkan bahawa tahap persetujuan terhadap komponen kemahiran generik dan komponen nilai yang dikaji adalah tinggi iaitu nilai purata min keseluruhan bagi kemahiran pemikiran kritis ialah 4.326, kemahiran penyelesaian masalah ialah 4.214 dan kemahiran TMK ialah 4.301. Manakala aspek nilai pula iaitu amanah ialah 4.305, bertanggungjawab ialah 4.338 dan kepercayaan ialah 4.353. Hasil kajian mendapati bahawa kepentingan penguasaan setiap komponen kemahiran generik dan nilai kepada pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) adalah perlu diperkasakan dalam menempuhi pembelajaran abad ke 21. Implikasi kajian ini menunjukkan aspek kemahiran generik dan nilai perlu diintegrasikan dalam semua kursus yang ditawarkan di IPG. Sehubungan itu, terdapat faktor lain yang mempengaruhi penerimaan m-Pembelajaran di IPG harus dipertimbangkan dalam kajian yang selanjutnya.
Kata kunci: Model Penerimaan, Kemahiran Generik, Nilai, m-Pembelajaran, Analisis Keperluan