PEMBANGUNAN MODEL KANDUNGAN EKOLOGI SPIRITUAL DALAM PENDIDIKAN ISLAM : SATU ANALISA KEPERLUAN
Abstract
Kajian awal ini merupakan sebahagian daripada penyelidikan yang dilaksanakan oleh pengkaji untuk membangunkan satu Model Kandungan Ekologi Spiritual dalam Pendidikan Islam. Objektif pembangunan model ialah untuk meningkatkan nilai spiritual (kerohanian) pelajar melalui penghayatan dalil-dalil al-Quran berhubung elemen ekologi. Data pada fasa 1 kajian, diperolehi melalui kaedah temubual 4 orang pakar dalam bidang Pendidikan Islam. Untuk itu, satu set soalan terbuka (open-ended) telah diagihkan kepada empat orang pakar. Soalan tersebut adalah berdasarkan tiga sub tema utama iaitu pandangan pakar terhadap tahap kefahaman murid mengenai konsep Ekologi Spiritual, pandangan pakar terhadap kepentingan kefahaman murid berhubung konsep Ekologi Spiritual dan pandangan pakar terhadap keperluan kepada pembangunan model Ekologi Spiritual berasaskan al-Quran. Dapatan kajian berdasarkan analisis pandangan pakar menunjukkan kesepakatan yang tinggi dengan kesemua pakar memberi respon dan persetujuan bahawa pembangunan model kandungan Ekologi Spiritual dalam Pendidikan Islam adalah perlu dan signifikan. Kajian ini memberi impak yang penting di dalam membangunkan domain spiritual murid. Selain itu, kajian ini boleh dijadikan sebagai panduan kepada guru dan pihak Kementerian Pendidikan di dalam merancang pembelajaran murid berasaskan al-Quran dan ilmu ekologi.
Kata kunci : Model, Ekologi Spiritual, ekologi