BRITISH : TELUNJUK LURUS KELINGKING BERKAIT DALAM PERANG KEDAH-SIAM 1821-1842
Abstract
Kertas ini akan memfokuskan perbincangan tentang peranan British sepanjang berlangsungnya peperangan di antara Kedah dan Siam pada 1821 hingga 1842 dari segi keterlibatannya sebagai pihak ketiga yang penuh dengan tipu-muslihat. Tempoh masa sebelum tahun 1821 juga diambil kira kerana bibit-bibit awal konflik telah muncul dan seterusnya sehinggalah tahun 1842 apabila perang telah tamat dengan perubahan suasana dan pendekatan pihak-pihak yang terlibat iaitu Kedah, Siam dan British. Francis Light yang berjaya mendapat hak untuk bertapak di Pulau Pinang pada 1786 dikira menjadi titik permulaan buat pihak British mengembangkan kuasa dan pengaruh bukan sahaja di Pulau Pinang tetapi kepada Tanah Melayu amnya. . Matlamat kertas ini tidaklah sepenuhnya memperincikan susur galur setiap pengkhianatan yang dilakukan pihak British tetapi hanya mengupas isu dan persoalan-persoalan bagaimana peranan yang dimainkannya. Permulaan suatu bentuk hubungan persahabatan bertukar menjadi pengkhianatan yang sangat keji. Pulau Pinang adalah sebahagian negeri Kedah sebelum 1786. Seberang Perai sebelum 1800 juga adalah sebahagian Kedah. Kemelut yang berpanjangan ini semakin meluas dengan termeterainya Perjanjian Burney dalam tahun 1826 memberi implikasi yang sangat besar terhadap Kerajaan Kedah. Kertas ini menggunakan pendekatan historiografi. Sumber yang menjadi rujukan terdiri daripada sumber awalan iaitu manuskrip-manuskrip dan juga sumber sekunder iaitu tulisan-tulisan dan kajian awal yang menyentuh tentang topik ini. Kertas ini menyimpulkan bahawa keterlibatan British dengan pengkhianatannya terhadap Kedah adalah amat tidak wajar dan membawa implikasi yang tragis bagi sebuah kerajaan berdaulat.