Pertalian Antara Pengurusan Pentadbiran, Komitmen Organisasi, Perhubungan Rakan Sekerja Serta Kriteria Kecemerlangan Dengan Kesediaan Terhadap Perubahan Dalam Kalangan Staf Di Kolej Komuniti Sungai Petani Kedah

  • Abd Latif Ahmad Kolej Komuniti Sungai Petani
  • Najmiah Abdullah Kolej Komuniti Sg Petani

Abstract

ABSTRAK


Kajian ini dijalankan untuk melihat persepsi staf terhadap tahap kesediaan kepada perubahan, pengurusan pentadbiran, komitmen organisasi, perhubungan rakan sekerja dan kriteria kecemerlangan yang diamalkan di Kolej Komuniti Sg Petani Kedah. Selain itu, melalui kajian ini pengkaji juga melihat faktor-faktor yang berjaya mempengaruhi dimensi kesediaan terhadap perubahan dalam kalangan staf di Kolej Komuniti Sg Petani Kedah. Secara khususnya, kajian ini mempunyai empat objektif iaitu : (i) Mengenalpasti tahap kesediaan terhadap perubahan di Kolej Komuniti Sg Petani Kedah dan tahap pengurusan pentadbiran, komitmen organisasi, perhubungan rakan sekerja dan kriteria kecemerlangan di Kolej Komuniti Sg Petani Kedah; (ii) Mengenalpasti hubungan antara pengurusan pentadbiran, komitmen organisasi, perhubungan rakan sekerja dan kriteria kecemerlangan dengan kesediaan terhadap perubahan dalam kalangan staf di Kolej Komuniti Sg Petani Kedah dan (iii) Mengenalpasti pemboleh ubah bebas yang merupakan peramal bagi Kesediaan Terhadap Perubahan dalam kalangan staf di Kolej Komuniti Sg Petani Kedah (iv) Mengenalpasti perbezaan kesediaan terhadap perubahan dalam kalangan staf Kolej Komuniti Sg Petani Kedah berdasarkan faktor demografi (umur dan tahap pencapaian akademik tertinggi). Seramai 74 responden iaitu staf Kolej Komuniti Sg Petani Kedah telah dipilih secara rawak mudah untuk menjawab soalan-soalan dalam borang soal selidik yang telah diedarkan oleh pengkaji. Dapatan dari kajian ini mendapati bahawa tahap kesediaan terhadap perubahan adalah berada pada tahap tinggi (M=3.59, SP=.48), pengurusan dan pentadbiran adalah berada pada tahap tinggi (M=3.47, SP=.37), komitmen organisasi adalah berada pada tahap tinggi (M=3.63, SP=.38), perhubungan rakan sekerja adalah berada pada tahap sederhana (M=3.16, SP=.46) dan kriteria kecemerlangan adalah berada pada tahap tinggi (M=3.56, SP=.43). Ujian Kolerasi Pearson pula mendapati bahawa terdapat hubungan yang signifikan di antara pengurusan pentadbiran dengan kesediaan terhadap perubahan dalam kalangan staf di Kolej Komuniti Sg Petani Kedah (r = .666, p < .01), dan juga terdapat hubungan yang signifikan di antara komitmen organisasi dengan kesediaan terhadap perubahan dalam kalangan staf di Kolej Komuniti Sg Petani Kedah (r = .500, p < .01). Namun begitu, Ujian-Anova Sehala pula mendapati bahawa tidak terdapat perbezaan yang signifikan diantara umur dengan kesediaan terhadap perubahan dalam kalangan staf Kolej Komuniti Sg Petani Kedah F(2,51) = .307, p >.05. Ujian Anova Sehala juga mendapati bahawa tidak terdapat perbezaan yang signifikan antara pencapaian akademik tertinggi dengan kesediaan terhadap perubahan dalam kalangan staf Kolej Komuniti Sg Petani Kedah F(3,61) = .567, p > .05. Secara keseluruhannya, dapatan kajian ini menunjukkan bahawa faktor kesediaan terhadap perubahan dalam kalangan staf Kolej Komuniti Sg Petani adalah berada pada tahap yang tinggi. Malah dengan menggunakan Regresi Berganda, sebanyak 50 peratus (R2 = .500) daripada varians dalam kesediaan terhadap perubahan di Kolej Komuniti Sg Petani dijelaskan oleh dua faktor iaitu pengurusan pentadbiran dan komitmen organisasi.


Kata Kunci: Pengurusan dan Pentadbiran, Komitmen Organisasi, Perhubungan Rakan Sekerja, Kriteria Kecemerlangan dan Kesediaan Terhadap Perubahan.

Published
2017-11-17
How to Cite
AHMAD, Abd Latif; ABDULLAH, Najmiah. Pertalian Antara Pengurusan Pentadbiran, Komitmen Organisasi, Perhubungan Rakan Sekerja Serta Kriteria Kecemerlangan Dengan Kesediaan Terhadap Perubahan Dalam Kalangan Staf Di Kolej Komuniti Sungai Petani Kedah. Politeknik & Kolej Komuniti Journal of Life Long Learning, [S.l.], v. 1, n. 1, p. 1-15, nov. 2017. ISSN 2600-7738. Available at: <http://myjms.mohe.gov.my/index.php/PKKJLLL/article/view/2387>. Date accessed: 17 nov. 2018.